Hari ni sy ada terbaca satu artikal.
Leh dikatakan sebagai untuk motivasi diri juga untuk kita. Sy berminat untuk share apa yg sy bc dan dirasakan menarik untuk dikongsi bersama yg lain :D
Kekalahan Itu Bersifat Sementara, Putus Asa Menjadikannya Kekal.
Apabila kita mengalami kekecewaan, atau kita gagal dalam sesuatu usaha, sememangnya sukar untuk kita bangun dan berjuang semula. Jika ada seperti ini, sebenarnya tiada apa yang perlu kita runsingkan. Ini adalah satu respon semulajadi yang lahir daripada hati dan perasaan seorang manusia, dan kita jangan sekali-kali menyalahkan diri semata-mata kerana berperasaan sedemikian. Apa yang perlu beri perhatian ialah, apa yang kita lakukan dalam keadaan sedemikian? Bagaimanakah menangani perasaan kita itu? Malah, bagaimana kita memanfaatkan kekalahan kita itu? Satu perkara yang kita harus tahu yakni ialah kegagalan dan kekecewaan merupakan satu rukun penting dalam proses perkembangan diri.
Seorang ilmuwan pernah berkata : Manusia yang tidak pernah gagal tidak akan mencapai kejayaan. Kita boleh menganggap bahawa kesilapan dan kegagalan kita sebagai satu papan tanda dalam jalan kehidupan yang mengingatkan kita “Jalan ini salah!”. Dalam ertikata lain, setiap kesilapan kita membuat kita mengenali jalan atau cara yang betul. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Edison apabila setelah beribu-ribu kali gagal menyalakan lampu mentol yang beliau cipta, beliau berkata bahawa beliau bukan gagal, tetapi menjumpai beribu-ribu cara untuk tidak menyalakan mentol tersebut! Sememangnya kita selalu menganggap bahawa kehidupan yang ‘lancar’ itulah yang terbaik dan yang ideal. Mungkin ya, mungkin juga tidak. Kata orang, laut yang sentiasa tenang tidak akan menghasilkan pelaut yang mahir dan cekap. Namun laut yang bergeloralah yang bisa melahirkan pelaut-pelaut mahir yang dapat mengemudi bahtera kehidupan ke tempat-tempat yang belum pernah diterokai.
Jika kita tidak menguji diri kita, kita tidak akan tahu apa kelemahan kita. Jika kita tidak tahu kelemahan kita, kita akan selesa dengan keadaan sedia ada dan tidak berusaha untuk memperbaikinya. Kerana dalam minda kita, kita rasa kita sudah ‘sempurna’, atau setidak-tidaknya kita berpuas hati dengan keadaan kita seadanya.
Jika ditanya sekarang, jika kita ingin belayar jauh, adakah kita akan menyerahkan bahtera kepada pelaut yang hanya melayari laut tenang dan tidak pernah menghadapi ribut dan sebagainya, atau pelaut yang biasa dengan lautan bergelora, membelah lautan terbuka? Jika anak kita, atau adik kita yang baru belajar berjalan, kerap jatuh bangun, mendedahkan dirinya kepada risiko-risiko seperti terhantuk meja, kerusi atau terlentang atas lantai, apakah kita akan berkata “Cukuplah, tak usahlah membahayakan diri lagi"? Tidak sekali-kali. Sebab itulah agaknya sebahagian besar manusia dunia ini boleh berjalan! Sebab sebagai kanak-kanak kecil, mereka tidak pernah mengalah. Mereka tidak kenal perkataan ‘putus asa’. Mungkin kita juga perlu mengingatkan diri kita tentang sifat kita yang sering dilupakan ini.
Ingatlah, kekalahan adalah sementara, hanya sifat putus asa kitalah yang menjadikannya kekal.